PANDUAN SOLAT FARDU

 


PANDUAN SOLAT FARDU (Langkah Demi Langkah)


Bagaimana cara solat fardu?

Ini adalah panduan asas solat fardu yang lengkap.

Panduan ini ditulis khas secara langkah demi langkah sebagai pengenalan untuk mengerjakan solat.

Perkara-perkara lain yang berkaitan dengan ibadah solat juga turut disertakan bagi memudahkan urusan ibadah anda.

Oleh itu, panduan ini amat sesuai bagi mereka yang ingin belajar solat.

Jika anda memerlukan manual panduan solat yang lengkap, maka ini adalah jawapannya..


Mengapa Orang Islam Perlu Solat?



Ini kerana solat adalah tiang agama. Kedudukan solat di dalam agama diibaratkan sebagai kepala kepada jasad.

Jasad manusia jika tidak bertangan, masih boleh hidup. Jasad manusia, jika tidak berkaki, masih boleh meneruskan hidup.

Akan tetapi jika jasad manusia itu tidak berkepala, maka jasad itu sendiri tidak bermakna lagi kerana jasad itu mati. Biar sempurna mana pun jasad itu, jika tidak berkepala, jasad tadi tidak dipandang pun.

Begitu jugalah perihal solat..

Jika seseorang itu tidak solat, maka amalan lain tidak ada gunanya. Puasanya, zakatnya dan hajinya tidak dipandang di sisi Allah Taala.

Beginilah yang difahami dari mafhum hadis Nabi yang bermaksud:

Yang pertama dihisab dari amalan hamba pada hari kiamat adalah solatnya

– Riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah

Solat juga dikira tiada jika kesempurnaan solat itu tidak dijaga.

Tamakninahnya wajib dijaga.

Peristiwa ini dirakamkan dalam hadis teguran Nabi terhadap seorang sahabat yang solatnya tiada tamakninah.

Semoga panduan solat ini dapat membantu para pembaca untuk menunaikan solat dengan baik dan sempurna.

InsyaaAllah.

Maksud Solat

Apakah maksud solat?

Dari segi bahasa, solat adalah doa.

Apabila seseorang hamba Allah mendirikan solat, bererti dia berdoa kepada Allah SWT.

Dari segi syarak, solat ialah amalan yang mengandungi perkataan dan perbuatan tertentu yang dimulai dengan takbiratul ihram dan disudahi dengan salam dengan syarat-syarat tertentu.

Ketika solat, seluruh jasad dihadapkan kepada Allah SWT. Lidah memuji-muji dan memohon kepadaNya.

Akal mengingati Allah, selari dengan ucapan lidah. Hati pula berasa kebesaran dan kekuasaan Allah SWT sebagai Tuhan yang disembah.

Cara Solat (Langkah Demi Langkah Asas)

Berikut adalah cara asas mengerjakan solat secara langkah demi langkah.

1.Menghadap Kiblat

Keadaan berdiri ini disebut qiyam dalam bahasa Arab.

Berdiri lurus dan hadapkan badan ke arah kiblat (Ke arah Kaabah). Mata memandang ke arah tempat sujud.



Orang yang hendak menunaikan solat, wajib mengetahui arah kiblat dengan yakin sebelum menunaikan solat.

Pada zaman sekarang, pelbagai apps menentukan arah kiblat boleh digunakan. Antaranya adalah Qibla Finder


2.Niat Untuk Solat

Ucapkan niat didalam hati dengan niat solat yang anda ingin lakukan.

Contohnya: Sahaja Aku Solat Fardu Zohor 4 Rakaat Tunai Kerana Allah Taala

Rasakan di dalam hati kita sedang berhadapan dengan Allah SWT.


3.Angkat Takbir

Angkat kedua belah tangan separas telinga.

Kemudian sebutkan “Allahuakbar!”

Maksudnya “Allah Maha Besar”



Lelaki: Tangan diangkat hingga pergelangan tangan setentang dengan bahu dan hujung ibu jari mencecah ke paras bawah telinga. Siku dan tangan perlu direnggangkan dari badan

Perempuan: Tangan diangkat hingga setentang dengan bahu dan hujung jari mencecah paras bawah telinga. Siku dan tangan mesti dirapatkan ke badan

Perbuatan ini dalam solat dipanggil Takbiratul Ihram


3.Letakkan Tangan Di Atas Perut

Selepas mengangkat takbir, tangan diletakkan diatas perut.



Letakkan tangan kanan di atas tangan kiri dan wajah memandang ke arah tempat sujud.

Kemudian bacalah doa iftitah:


Allaahu Akbaru kabiiraa-walhamdu lillaahi katsiiran, wa subhaanallaahi bukrataw-wa’ashiila.

Wajjahtu wajhiya lilladzii fatharas-samaawaati wal ardha haniifam-muslimaw-wamaa anaa minal musyrikiina.

Inna solaatii wa nusukii wa mahyaaya wa mamaatii lillaahi Rabbil ‘aalamiina.

Laa syariikalahu wa bidzaalika umirtu wa anaa minal muslimiin

Maksud Doa Ifitah

Allah Maha Besar, segala puji bagi Allah. Maha Suci Allah pagi dan petang.

Aku hadapkan mukaku kepada Tuhan yang menciptakan langit dan bumi, hal keadaannya bersih dalam Islam. Tidaklah aku dari golongan orang-orang yang mensyirikkan Tuhan.

Sesungguhnya sembahyangku, ibadahku, hidup dan matiku bagi Allah, Tuhan yang memiliki alam keseluruhannya.

Tidak ada bersekutu denganNya sesuatu dan dengan demikian aku disuruh dan aku dari golongan muslimin.


4.Baca Al Fatihah Dan Seterusnya Surah Lain

Selesai membaca doa iftitah, seterusnya baca pula surah al-Fatihah.

Surah al-Fatihah adalah rukun dalam solat.

Ini bermakna, jika al-Fatihah wajib dibacakan. Jika tidak dibaca solat kita tidak akan sah.

Al hamdu lil lahi rabbil ‘alamin. Arrahmanir rahim. Maliki yawmiddin. Iyyaka na’budu wa iyyaka nasta’in. Ihdinas siratal mustaqim. Siratal ladhina an’amta’alaihim, ghairil maghdubi’alaihim wa lad dhallin. (Amin)

Surah al-Fatihah mesti dibaca adalam setiap rakaat.

Selesai al-Fatihah, seterusnya bacalah surah lain.

Antara surah yang mudah adalah surah al-Ikhlas.


Qul hu wal lahu ahad, allahus samad, lam yalid wa lam yulad, wa lam ya kul lahu kufuwan ahad.”


5.Kemudian Rukuk

Langkah seterusnya adalah rukuk.

Semasa rukuk, ucapkan takbir (Allahuakbar) dan letakkan kedua belah tangan di atas lutut.


Posisi Rukuk

Semasa rukuk:

Belakang badan perlu rata, pandangan dihalakan ke tempat sujud dan tangan diletakkan di kepala lutut dalam keadaan selesa.

Bacaan tasbih semasa rukuk adalah:


Subhaa Na Rabbiyal A’zim Wabihamdih 

Maksudnya: 

Maha Suci Tuhanku Yang Maha Besar dengan segala sifatNya yang terpuji


6.Berdiri Dari Rukuk (Iktidal)

Setelah selesai rukuk, seterusnya kita akan bangun berdiri tegak (iktidal).

Ucapan semasa iktidal adalah seperti berikut:

 Sami Allahu liman hamidah. Rabbana lakal hamdh 

Maksudnya:

Allah mendengar perkataan mereka yang memuji-Nya. Ya Tuhan Kami, untuk-Mu segala pujian.


7.Sujud Pertama

Setelah iktidal, seterusnya kita akan sujud.


Cara sujud adalah:

Bertakbir (Allahuakhbar) dan turunkan badan dengan dahi, hidung, kedua belah tapak tangan dan ibu jari kaki menyentuh lantai. (rujuk gambar)

Buka lengan dari sisi badan dan lantai.


Bacaan semasa sujud adalah:

Subhana Rabbiyal A’la Wabihamdih 

Maksudnya:

Maha Suci Tuhanku Yang Maha Tinggi dengan segala kepujiannya.

Tasbih ini diulangi sebanyak tiga (3) kali.


8.Duduk Antara Dua Sujud

Setelah itu, bangun (duduk) dari sujud sambil menyebut “Allahuakbar” (tanpa mengangkat tangan).


Fasa ini dipanggil “duduk di antara dua sujud”

Bacaan paling mudah semasa duduk antara dua sujud adalah:

Rabbighfir li.”

Maksudnya:

Wahai Tuhanku, ampunilah aku

Jika anda mampu menghafal, bacalah bacaan penuh duduk antara dua sujud.

Bacaan penuh adalah seperti berikut:


Rabbigfirli Warhamni Wajburni Warfagni Warzuqni Wahdini Wa a’fini Wa’fu Anni 

Maksudnya:

Wahai Tuhanku, ampunilah aku, rahmatilah aku, lindungilah aku dan angkatlah darjatku berilah aku rezeki, dan berilah petunjuk kepadaku, afiatkanlah aku dan ampunilah aku.


9.Sujud Kedua

Selesai membaca tasbih di atas, maka sujudlah sekali lagi (sujud kedua)

Bertakbir (Allahuakbar) lalu sujud sekali lagi.

Kedudukan dan bacaan tasbihnya adalah sama seperti sujud pertama.

Dengan ini, sudah selesai bahagian rakaat pertama dalam solat.


10.Sekarang bangun berdiri untuk Rakaat Kedua.

Pergerakan dalam rakaat kedua sama seperti rakaat pertama, kecuali selepas sujud kedua anda tidak perlu terus bangun tetapi duduklah pada kedudukan tasyahud (Tahiyat awal)


Cara duduk tasyahud adalah seperti berikut:

  • Duduk di atas kaki kiri dengan ibu jari kaki kanan ditegakkan.
  • Telapak tangan kanan digenggam melainkan jari telunjuk kanan diluruskan.

Bacaan Tahiyat Awal adalah seperti berikut:



Attahiyyatul Mubarakaatush sholawaatuth thayyibatu lillaah,

Assalaamu’alaika ayyuhan nabiyyu warahmatullaahi wabarakaatuh,

Assalaamu’alaina wa’alaa ‘ibaadillaahish shoolihiin.

Asyhadu an laa ilaaha illallaah,

Waasyhadu anna Muhammadan rasuulullaah.

Allahhumma sholli ‘alaa Saidina Muhammad

Wa ‘ala aalihi Saidina Muhammad

Makna bacaan Tahiyat Awal:

Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah. Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta keberkatannya. Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh. Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah. Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad.


Untuk solat tiga rakaat (Maghrib) dan solat empat rakaat (Zohor, Asar dan Isyak), anda perlu bangun berdiri kembali selepas selesai baca tahiyat awal, untuk meneruskan rakaat seterusnya.

Untuk solat dua rakaat, teruskan duduk tasyahud dan bacalah tahiyat akhir.


Posisi kaki pada duduk tahiyat akhir


Posisi kedudukan jari ketika tahiyat

Bacaan Tahiyat Akhir adalah seperti berikut:


Bacaan Tahiyat Akhir Dalam Rumi:

Attahiyatul mubarakatus solawatut taiyibatu lillah.

Assalamu’alaika aiyuhan nabiyu warahmatullayhi wabarakatuh.

Assalamu’alaina wa’la ‘ibadillahis salihin.

Asyahadu anla illaha illallah. Wa’asyhadu anna Muhammadar Rasulullah.

Allahumma solli’ala Muhammad wa’ala ali Muhammad.

Kama sollaita’ala Ibrahim wa’ala aliIbrahim.

Wabarik ‘ala Muhammad wa’ala ali Muhammad.

Kama barakta ‘ala Ibrahim wa’ala aliIbrahim.

Fil ‘alamina innaka hamidum-majid.

Maksudnya:

Segala kehormatan, keberkatan, segala doa (solat) dan kebaikan untuk Allah, keselamatan, rahmat Allah dan berkatNya tetap kepadamu ya Nabi. Keselamatan mudah-mudahan tetap kepada kami dan hamba-hamba Allah yang soleh. Aku mengaku tiada tuhan yang disembah melainkan Allah. Dan aku mengaku Nabi Muhammad SAW ialah pesuruh Allah.

Ya Allah, berilah rahmat kepada Penghulu kami Nabi Muhammad dan keluarga Sayidina Muhammad. Sebagaimana Engkau merahmati Sayidina Nabi Ibrahim dan keluarga Sayidina Nabi Ibrahim. Berkatilah penghulu kami Sayidina Nabi Muhammad dan keluarga Penghulu kami Sayidina Muhammad.

Sebagaimana Engkau memberkati Sayidinia Nabi Ibrahim dan keluarga Sayidina Nabi Ibrahim. Di alam semesta ini, Engkau sahajalah Yang Paling Terpuji dan Yang Paling Mulia.


11.Beri Salam

Selesai membaca tahiyat akhir, palingkan muka ke sebelah kanan dan ucapkan: “Assalamu alaikum wa rahmatullah”

kedua ulangi salam dengan memalingkan muka ke sebelah kiri dengan ayat yang sama.


Maka Solat Dua Rakaat Telah Selesai

Untuk solat tiga atau empat rakaat, prosedur semua pergerakan solat diulangi pada rakaat seterusnya, kecuali pada rakaat ketiga & keempat tidak dibaca surah selepas al-Fatihah.

Semua pergerakan dan bacaan lain adalah sama.

Semua solat mesti diakhiri dengan tahiyat akhir dan salam.

Kenapa Kita Perlu Solat?

Solat ialah rukun Islam yang kedua.

Ia menjadi amalan praktikal yang pertama sebagai bukti keislaman seseorang.

Selepas mengerjakan rukun Islam yang pertama iaitu mengucap dua kalimah syahadah, seorang muslim mesti mendirikan solat.

Kemudian, baru diikuti dengan mengerjakan amalan-amalan yang lain.



Tangan kanan menggenggam pergelangan tangan kiri. Tangan diletakkan di antara pusat dan dada

Solat menjadi penghubung secara langsung antara manusia dengan Allah SWT.

Tidak ada ibadah lain yang lebih utama daripada solat dalam menghubungkan hamba dengan Tuhannya.

Melalui solat, hamba itu mengagungkan Allah, sekaligus memohon rahmatNya.

Apabila solat ditinggalkan, hubungan dengan Allah akan terputus.

Apabila hubungan dengan Allah SWT terputus, seolah-olah kita tidak memerlukan Allah dan tidak mengharapkan rahmatNya.

Sedangkan setiap manusia amat memerlukan rahmat Allah SWT dalam setiap detik kehidupannya.

Kesannya, manusia dapat hidup dengan selamat di dunia dan di akhirat.

Dan, rahmat Allah hanya diberikan kepada orang yang mengerjakan solat.

Hal ini dinyatakan oleh Allah SWT dalam al-Quran:

Dan dirikan oleh kamu akan solat serta berilah zakat; dan taatlah kamu kepada Rasul Allah; supaya kamu beroleh rahmat

— Surah an-Nur 24:56



Syarat Wajib Solat


Allah SWT memerintahkan supaya solat didirikan mengikut syarat dan kaedah (kaifiat) yang tertentu.

Namun Allah SWT memberi kelonggaran dalam keadaan tertentu supaya umat Islam tetap dapat mendirikan solat dalam sebarang keadaan.

Antara Syarat-Syarat Wajib Solat adalah:

  1. Islam
  2. Baligh
  3. Berakal
  4. Suci daripada haid dan nifas
  5. Sempurna pendengaran dan penglihatan.

Di bawah ini saya akan huraikan setiap syarat yang mewajibkan seseorang itu untuk solat:

1.Islam

Orang Islam wajib menunaikan solat.

Tidak ada kewajipan solat kepada orang yang belum Islam.

Mereka juga tidak perlu menggantikan solat semasa belum Islam sekiranya masuk Islam.


2.Baligh

Dari segi bahasa bermaksud “telah mencapai”.

Daripada segi istilah, bermaksud seseorang yang mencapai tahap kematangan daripada segi umur.

Baligh ialah sampai umur untuk seseorang itu menanggung kewajipan syarak iaitu peraturan syariat Islam.

Mereka akan mendapat pahala apabila melakukannya dan berdosa apabila meninggalkannya.

LELAKI

PEREMPUAN

  • Bermimpi sehingga membuatkan dirinya keluar air mani.
  • Apabila tidak bermimpi, dia dikira baligh apabila usianya genap 15 tahun Qamariyah (kiraan tahun hijrah)
  • Keluar darah haid seawal-awalnya pada usia sembilan tahun.
  • Apabila belum keluar darah haid, dia dikira baligh apabila usianya genap 15 tahun Qamariyah

3.Berakal

Orang yang berakal wajib menunaikan solat.

Walau bagaimana pun, kewajipan solat gugur ke atas orang yang hilang akal disebabkan gila, terencat akal, pitam dan pengsan.

Menurut jumhur ulama, solat tidak wajib kepada orang gila, terencat akal dan seumpamanya.

Begitu juga orang yang pengsan atau koma, kecuali sekiranya dia sedar dan masih ada lagi waktu solat.

Hal ini disebabkan berakal adalah tanda (mukalaf), sebagaimana hadis Rasulullah SAW.

Terangkat qalam (catatan) dalam tiga keadaan: Orang yang tidur sehingga dia sedar daripada tidurnya, kanak-kanak sehingga dia mimpi (baligh) dan orang gila sehingga dia kembali berakal.

— Riwayat Ahmad, Abu Dawud dan al-Hakim.


4.Suci Daripada Haid & Nifas

Wanita yang berada dalam keadaan haid atau nifas diharamkan solat dalam tempoh berkenaan.

Mereka juga tidak perlu menggantikan semula solat yang ditinggalkan.


5.Sempurna Pendengaran & Penglihatan

Orang yang buta dan pekak sejak lahir atau sebelum mumaiyiz tidak wajib menunaikan solat.

Hal ini disebabkan mereka tidak mampu menerima ilmu dan seruan dakwah, sama ada dengan mendengar pengajaran atau melihat contoh solat yang diajar.

Sekiranya hanya mengalami kecacatan pada salah satu daripadanya sama ada cacat pendengaran atau cacat penglihatan, solat tetap wajib dilaksanakan kerana masih ada kemampuan untuk menerima tunjuk ajar.

Nota

  • Apabila hilang semua sebab yang menjadi penghalang kepada kewajipan menunaikan solat seperti yang telah dijelaskan, maka wajib untuk mereka menunaikan solat sebagaimana biasa.
  • Sunat bagi orang yang gila, pengsan dan mabuk untuk qada solat yang ditinggalkan sepanjang tempoh mereka hilang akal. Bagaimana pun, apabila mereka gila, mabuk atau pengsan semasa murtad, wajib bagi mereka menggantikan solat selama mereka hilang akal dalam keadaan murtad.
  • Tidak ada dosa untuk orang yang tertidur sebelum masuk waktu solat hingga terlepas satu atau lebih waktu solat. Bagaimana pun, solat itu wajib diqada apabila bangun daripada tidur.
  • Menurut sebahagian ulama, menggantikan solat yang ditinggalkan kerana haid dan nifas hukumnya adalah makruh. Bahkan berdosa apabila menyesali takdir kerana tidak dibolehkan solat pada waktu tersebut.

Sebelum mendirikan solat, ada beberapa syarat yang perlu dipenuhi supaya solat sah dan menjadi sebab solat diterima oleh Allah SWT.

Antara syarat sah solat adalah:

  • Suci daripada hadas
  • Suci daripada najis
  • Menghadap kiblat
  • Menutup aurat
  • Mengetahui masuk waktu solat

Di bawah ini saya jelaskan secara ringkas setiap syarat-syarat yang dinyatakan di atas:

1. Suci Daripada Hadas

Hadas terbahagi kepada dua; hadas kecil dan hadas besar.

Hadas kecil ialah perkara yang membatalkan wuduk.

Cara menyucikan diri daripada hadas kecil adalah dengan berwuduk.

Apabila tidak ada air, diganti dengan tayamum.

Rasulullah SAW bersabda:

Tidak ada solat bagi orang yang tidak berwuduk. Dan tidak sempurna wuduk bagi orang yang tidak menyebut nama Allah Taala atasnya 

— Riwayat Abu Dawud


2. Suci Daripada Najis

Suci daripada najis yang tidak dimaafkan pada tubuh badan, pakaian dan tempat solat.

Pengertian najis daripada sudut bahasa ialah sesuatu yang cemar, kotor dan jijik.

Pengertian najis dari sudut hukum syarak pula ialah kekotoran yang menghalang daripada sah solat.

Terdapat tiga jenis najis, iaitu:

  1. Najis Mukhaffafah (najis ringan)
  2. Najis Mughallazah (najis berat)
  3. Najis Mutawassitah (najis pertengahan)

3. Menutup Aurat

Aurat ialah bahagian yang menjadi aib pada tubuh badan yang wajib ditutup dan haram dilihat oleh orang lain.

Memakai pakaian yang menutup aurat ketika mengerjakan solat menjadi syarat solat diterima oleh Allah Taala.

Bagi lelaki, aurat wajib ditutup ialah kawasan di antara pusat dan lutut.

Aurat perempuan pula meliputi seluruh tubuh kecuali muka dan tapak tangan.

Aurat berasal daripada perkataan arab yang bermaksud keaiban.

Menurut istilah fekah, aurat ialah bahagian tubuh badan yang wajib ditutup atau dilindungi daripada pandangan.

Dinamakan aurat kerana mendedahkan dan melihatnya adalah sesuatu yang tercela.


4. Mengetahui Arah Kiblat

Arah kiblat ialah arah terletaknya Kaabah di Mekah.

Orang yang hendak solat, wajib mengetahui arah kiblat terlebih dahulu.

Semasa mengerjakan solat, dada wajib dihadapkan ke arah kiblat.

Mereka yang bersolat berdekatan Kaabah, diwajibkan menghadap tepat ke bangunan Kaabah.

Manakala mereka yang jauh dari Kaabah, memadai dia yakin mengadap ke arah Kaabah dengan mengambil kira ilmu, pengalaman atau maklumat semasa.

Baca lanjut panduan mengenai kaedah menentukan arah kiblat pada artikel ini:


5. Mengetahui Masuk Waktu Solat

Solat perlu dilakukan setelah yakin masuk waktunya.

Tidak sah solat yang ditunaikan selain pada waktunya.

Masuknya waktu solat fardu dapat diketahui dengan cara:

  1. Mendengar azan dari masjid berdekatan atau melalui siaran radio dan televisyen tempatan.
  2. Menggunakan jadual waktu solat yang dikeluarkan oleh jabatan-jabatan agama Islam negeri.
  3. Melihat tanda-tanda alam yang menunjukkan masuknya waktu solat fardu

Catat Ulasan

Borang Maklumat Hubungan